Islamic Widget

Thursday, 22 September 2011

KUKUHKAN IMAN DGN PERNIKAHAN

Assalamualaikum wbt.

Imam al-Ghazali dalam kitabnya, al-Ihya’ Ulumuddin, ada menyenaraikan beberapa tujuan berkahwin yang antaranya menghilangkan tekanan perasaan terhadap wanita yang sentiasa datang mengganggu di dalam ibadat. Dengan perkahwinan juga, seseorang itu dapat memelihara diri daripada godaan syaitan yang akan membawa ke arah perkara yang haram.



Berdasarkan itu amat wajar setiap manusia berkahwin bagi menyelamatkan iman. Apatah lagi pasangan yang sedang bercinta, segeralah berkahwin kerana mereka berdua terdedah kepada tekanan tersebut. Pada masa yang sana ibu bapa yang mempunyai anak baik lelaki mahupun perempuan, perhatikan keinginan mereka. Jika mereka sudah ada rasa keinginan untuk berkahwin, lihatlah dengan serius apakah dia sudah benar-benar layak atau tidak.
 
Jika mereka layak iaitu, ilmu agamanya sudah matang, ada kemampuan yang boleh menjamin kehidupan mereka, maka segerakanlah perkahwinan mereka sebelum terjadinya perzinaan. Sebaliknya jika tidak layak atau belum layak bimbinglah mereka ke jalan yang betul dan pantaulah pergerakan agar tidak melakukan perkara yang haram.
 
Sebenarnya hubungan lelaki dengan perempuan perlu ada batas, bukan dilepas bebas sesuka hati mereka. Namun begitu pemantauan ibu bapa janganlah sampai anak kita itu rasa takut ketika di hadapannya, tetapi akan liar dengan gejala sihat di belakang kita. Inilah yang kita bimbangkan.

Segera berkahwin
Setiap manusia perlukan pasangan hidup. Adam yang diciptakan dan ditempatkan di dalam syurga setelah dimasukkan nafsu, telah melahirkan rasa jemu hidup seorang diri, lalu meminta diadakan pasangan untuknya. Itulah realiti lelaki dan wanita di muka bumi ini. Malah setelah lelaki berusia baligh rasa inginkan wanita sudah mula berputik. Di sinilah perlunya bantuan ibu bapa dalam memahami kehendak mereka.
 
Kalau mereka dilihat sudah layak berkahwin, carilah calon yang sesuai dengan anak masing-masing. Mungkin ramai yang dah lupa, dalam budaya masyarakat Melayu tahun sebelum 60-an urusan mencari jodoh diserahkan kepada ibu bapa. Anak-anak ketika itu boleh menerima cadangan dan rancangan ibu bapa mereka. Hal ini kerana peluang untuk mereka mencari sendiri agak terhalang.
 
Kenapa tak percaya? Sebenarnya dahulu, wanita banyak berada di rumah dan kalau mereka keluar rumah pun dalam keadaan malu. Dalam keadaan itu tentulah sukar bagi lelaki untuk berkenalan dengan wanita tersebut. Oleh sebab tidak tahu status sebenar wanita tersebut maka ibu bapa perlu keluar merisik kalau-kalau anak perempuan itu masih belum berpunya.
 
Keadaan ini mungkin tidak jauh berbeza dengan masyarakat lain. Khadijah sendiri yang dikatakan merisik Muhammad tetapi hakikatnya masih melalui pembantunya Maisarah. Bagitu juga masyarakat India, terdapat wakil pihak wanita yang merisik pihak lelaki.

Memilih calon yang syari’i
Dalam Islam perkahwinan mestilah mengikut proses yang dibenarkan syariat. Walaupun zaman telah berubah, pendekatan merisik orang orang tua masih releven. Oleh sebab itu tidak wajarlah lelaki atau perempuan mencari calon sendiri. Selepas pikat seorang, pikat yang lain pula kononya tidak sesuai. Akhirnya semuanya tidak jadi.
 
Islam menyediakan panduan yang tidak rugi mereka yang mengikutnya. Dalam soal memilih calon Islam meletakkan keutamaan kepada lelaki, namun tidak salah kalau perempuan yang meminati seseorang lelaki menentukan calonnya. Walau apapun pilihan calon isteri atau suami hendaklah yang menepati kehendak Allah dan Rasul.
 
Pemilihan ini penting kerana hubungan yang serasi atau sekufu sahaja yang boleh menjadi rumah tangga yang dibina itu sempurna sifat. Cuma persoalan sekarang bagaimana proses mencari? Ya, kalau zaman dahulu ibu bapa yang mencari tetapi pada zaman ini, semuanya sudah berubah, lelaki atau perempuan mencari sendiri pasangan mereka. Peranan ibu bapa hanya pada pusingan terakhir. Jadi, hilanglah keberkatan.
 
Dalam hal ini Rasulullah memberi panduan dalam memilih isteri. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Dikahwini wanita itu (untukdijadikan isteri) kerana empat perkara iaitu harta kekayaannya, keturunannya, kecantikannyadan agamanya. Maka utamakanlah (dalam pemilihanmu itu) wanita yang kuat beragama,nescaya sejahtera hidupmu” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
 
Jelas di sini lelaki boleh membuat pilihan malah itulah yang biasanya menjadi pilihan lelaki iaitu, wanita ada duit, wanita yang berketurunan yang baik-baik, wanita yang ada rupa dan wanita yang beragama. Cuma dalam hadis ini Rasulullah mencadangkan agar lelaki itu lebih memilih yang bergama. Hal ini kerana dengan memilih isteri yang beragama banyak urusan rumah tangga dapat dibantu oleh isteri tersebut.
 
Tetapi apa yang sering berlaku pada hari ini, walaupun berkawan dan bercinta bertahun-tahun belum boleh buat keputusan. Apabila dirasakan agak serasi barulah dia menghantar wakil merisik. Agaknya apa yang hendak dirisikkan lagi sebab kenalan mereka sudah lebih daripada merisik. Tegasnya soal agama tidak diberikan perhatian langsung. Kesannya apabila berkahwin terbungkar segala rahsia yang selama ini tidak dedahkan.

Sifat suami dan isteri
Sebenarnya perkahwinan yang mengikut panduan Islam akan menserlahkan keindahan sesebuah kehidupan. Suami dan isteri sudah tahu hak dan tanggungjawab yang mesti ditunaikan dalam rumah tangga. Masing-masing sudah tahu kekuatan dan kelemahan pasangan untuk saling bekerjasama dalam membina rumah tangga bahagia.

Dalam hal ini isteri perlu tahu apakah hak suami yang mesti dipatuhi oleh isteri. Sabda Rasulullah SAW:

حَقُّ الزَوْجِ عَلَى الْمَرْأَةِ أن لا تَهْجُرْ فِرَاسَهُ وأن تَبِرَّ قِسْمَهُ وَأَن تُطِيعَ أمْرَهُ وَأَن لا تَخْرُجَ الا بإذنه وان لا تُدخِلَ اليه من يَكْرَهُ.
Maksudnya: Hak suami yang mesti dipatuhi isteri ialah; tidak meninggalkan tempat tidur suami, menerima seadanya pemberian suami, mentaati perintah suami, meminta izin suami ketika hendak keluar rumah, dan tidak membawa masuk orang lain yang dibenci suami ke dalam rumah. (Riwayat al-Tabrani)
 
Pada masa yang sama suami perlu tahu apakah hak isteri yang perlu diberi perhatian olehnya. Sabda Rasulullah SAW:

حَقُّ الْمَرْأَةِ عَلَى زَوْجِ أن يُطْعِمَهَا اِذَا اَطْعَمَ وَيَكْسُوهَا إِذَا اكْتَسَى وَلا يَضْرِبْ الوَجْهَ وَلا يُقَبِّحْ ولا يَهْجُرْ اِلاَّ فِى البَيتِ.
Maksudnya: Hak isteri yang wajib dijaga oleh suami ialah memberi makan kepada isteri apabila dia makan, memberi pakaian kepadanya apabila dia memakai pakaian, jangan memukul muka isteri, tidak menghina isteri, dan tidak meninggalnya bersendirian kecuali dalam rumah.
 
Jika suami isteri tahu peranan masing-masing tidak akan berlaku pelanggaran peranan atau salah menyalah antara satu sama lain. Pada masa yang sama ada rasa bersama dan bekerjasa dalam membina rumah tangga yang harmoni.

Iman dan ibadah
Sebenarnya untuk menjadi pasangan ini dapat menjaga semua kehendak Allah dan Rasul, perkahwinan itu mesti diasaskan atas rasa keimanan yang mantap. Maknanya suami dan isteri benar-benar takut kepada Allah dan mengharapkan reda-Nya. Suami yang beriman akan mendorong dirinya untuk melakukan yang terbaik terhadap isterinya. Selain kuat ibadah kepada Allah mereka tidak akan menganiayai isterinya sebaliknya terus membimbing isteri ke arah kebaikan.
 
Suami yang beriman akan mendorong isterinya untuk melakukan ibadah bersama apatah lagi solat fardu. Dengan hubungan baik itulah syaitan rasa kecewa kerana peluang untuk menggoda pasangan itu agak tipis. Ruang untuk mengajak mereka melakukan maksiat sudah semakin sukar. Oleh sebab itu kalau mereka boleh istiqamah dengan cara ini hidup mereka akan bahagia selama-lamanya.
 
Selain itu, isteri yang boleh reda dengan didikan suami dan sanggup mengikut kehendak suami itulah hakikat bahawa isteri tahu peranan dan tanggungjawabnya. Tetapi kedudukan isteri ini harus selalu dikawal kerana syaitan sentiasa mencari peluang untuk merosakkan rumah tangga yang bahagia.
 
Sebenarnya, pasangan yang bahagia pada awal perkahwinan ada jaminan untuk bahagia hingga ke akhir hayat nanti. Demikian jika hubungan suami dan isteri itu dapat dikukuhkan dan dapat ditingkatkan iman dan taqwa. Walau bagaimanapun hasil pengalaman yang lampau banyak menyedarkan saya bahawa kebahagiaan rumah tangga tidak terhasil dengan lakonan.
 
Jadi, binalah perkahwinan di atas asas iman dan taqwa agar nanti setiap perjalanan hidup dalam bantuan Allah.